Pelajar sekolah menutup kepala menggunakan buku ketika pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya ketika tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kuala Selangor antara 17 lokasi rekod status cuaca panas tahap satu di Semenanjung

SHAH ALAM, 12 MEI: Kuala Selangor antara 17 lokasi yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

Agensi itu dalam kenyataan di laman web rasminya memaklumkan lokasi lain di Semenanjung ialah Padang Terap, Kuala Muda, Kota Setar, Baling, Bandar Baharu di Kedah.

Foto Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia

Selain itu, Hulu Perak, Selama, Matang dan Larut, Kinta, Batang Padang di Perak; Jempol di Negeri Sembilan, Muar di Johor dan Pasir Mas di Kelantan.

“Di Sarawak, cuaca sama dikeluarkan bagi kawasan Mukah manakala di Sabah membabitkan Beaufort dan Kinabatangan,” kata kenyataan itu.

Terdapat empat kriteria cuaca panas dikeluarkan MetMalaysia iaitu suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius, tahap satu (berjaga-jaga) suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Peniaga, Abdullah Ahmad, 56, menyediakan air kelapa untuk pelanggan ketika tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain itu, tahap dua (gelombang haba) suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Tahap tiga (gelombang haba ekstrem) iaitu suhu maksimum harian melebihi 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.


Pengarang :