AGENDAJENAYAH

Lelaki rugi RM58,800 ditipu pelaburan menerusi aplikasi Telegram

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Pembantu projek ‘berputih mata’ selepas kerugian RM58,800 akibat ditipu dalam pelaburan Bitfine.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu terjerat dengan pelaburan menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang individu melalui Telegram pada 17 Mac lalu namun tidak melayan suspek.

Menurutnya, bagaimanapun, mangsa mula berkomunikasi dengan suspek dan berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine, lapor Harian Metro.

“Pengadu menerima pulangan RM543 sehingga dia yakin dengan pelaburan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April sehingga 8 Mei sebanyak lapan kali transaksi ke lima jenis akaun bank berbeza dengan jumlah RM58,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan taktik penipuan jenayah penipuan yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.

“Sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan melayari https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terbabit dalam sebarang kes penipuan.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya.


Pengarang :