Pengunjung memilih pelbagai barangan yang dijual pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

500 ekor ayam, 300 papan telur habis dalam sejam di jualan murah DUN Kota Damansara

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 18 MEI: Sebanyak 500 ekor ayam dan 300 papan telur habis dijual dalam tempoh satu jam di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara di sini hari ini.

Menerusi jelajah itu pengendali jualan murah negeri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membawa 300 barangan keperluan harian iaitu beras, daging dan ikan selain 150 botol minyak masak.

Penolong Pengurus Pentadbirannya berkata semua barangan itu turut habis dijual dalam tempoh dua jam.

“Sambutan sangat menggalakkan malah pengunjung tidak putus-putus datang sebaik jualan bermula 10 pagi.

Orang ramai menunggu giliran membeli barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Bagi memastikan pengunjung tidak pulang dengan tangan kosong kita hadkan dua ekor ayam dan sepapan telur setiap seorang,” kata Muhamad Ridzuan Abdul Rahim.

Ditemui pada program jualan murah di Dewan Seksyen 7 Kota Damansara di sini, beliau berkata jualan ditutup satu jam lebih awal memandangkan semua barang habis dijual.


Penolong Pengurus Pentadbiran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Muhamad Ridzuan Abdul Rahim. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Jualan barangan murah bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lalu.

 

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Pengunjung memilih pelbagai barangan yang dijual pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :