Sidang media Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (tengah) di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto ihsan LZS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LZS agih zakat lebih RM1 bilion, tertinggi sejak penubuhan

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 22 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatat pencapaian bersejarah dengan prestasi agihan dan kutipan zakat melebihi RM1 bilion, tertinggi sejak penubuhannya selama lebih 25 tahun.

Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata agensi itu mengagihkan zakat sebanyak RM1.05 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 13.8 peratus berbanding RM922 juta pada tahun sebelumnya

“Bantuan zakat ini memberi manfaat kepada 350,000 individu asnaf dan pelbagai organisasi di Selangor menerusi program pembangunan sosial, pendidikan, institusi agama, insan dan ekonomi serta bantuan khas melalui Zakat Selangor Peduli.

“Jumlah agihan ini merupakan hasil kutipan zakat sebanyak RM1.07 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kepercayaan yang ditunjukkan pembayar zakat  turut menyumbang kepada peningkatan agihan. Ini dapat dilihat apabila bilangan pembayar zakat meningkat dari 364,778 orang pada 2021 kepada 400,580 orang pada 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Agihan dan Kutipan LZS bagi tahun 2022 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Syed Anwar berkata kemudahan bayaran zakat menggunakan kad debit dan kredit turut mendorong peningkatan kutipan LZS.

“LZS terus menyeru orang ramai menunaikan kewajipan membayar zakat. Golongan asnaf dijangka akan meningkat sebanyak 400,000 penerima menjelang 2025 dan sebanyak RM1.5 bilion agihan zakat diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bermula mulai 1 Julai ini, LZS akan menggunakan kadar had kifayah baharu, iaitu daripada RM2,734 kepada RM2,990 sebulan, bertujuan untuk membantu lebih ramai asnaf.

“Susulan pengenalan had kifayah baharu, LZS menjangkakan peningkatan seramai 12,000 penerima zakat baharu yang memerlukan peruntukan agihan zakat tambahan sekitar RM60 juta,” katanya.


Pengarang :