Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan cederamata Kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Jamuan Mahabbah Ulama-Umara di Hotel Concorde Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Program Muzakarah Ulama, Umara suntik semangat kepimpinan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 22 MEI: Program Muzakarah Ulama dan Umara disusun bagi menyuntik roh dan semangat dalam melahirkan kepimpinan yang baik serta menghalang mudarat awam, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari  ini kerana, tanggungjawab dan tugas seorang pemimpin bukan hanya memelihara agama, ia juga harus menjadi maslahat dalam kehidupan kemanusiaan.

“Namun begitu, realiti hari ini kadang kala kita dapat lihat kepimpinan yang di dalam nilai, ciri, perkataan, perbuatan dan keputusannya menimbulkan peperangan.

‘… menimbulkan pertelingkahan, pergaduhan dan amat malang ada juga yang sudah mula mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga maslahat kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam jamuan Mahabbah Ulama dan Umara yang dihadiri 450 tetamu termasuk 200 guru agama pondok dari seluruh negara dengan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah sebagai undangan khas.

Dalam pada itu Amirudin juga mengakui sangat tersentuh dengan mukadimah yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Ali Jum’ah dalam Afkar Ihya’ Ulumuddin mengenai penerbitan Ihya’ Ulumuddin.

“Perkataan ihya’ itu diberikan penekanan kerana ia menghidupkan agama, menghidupkan nilai sebenar kemanusiaan dan keagamaan dalam kehidupan seharian.

“Justeru selain program ucapan ataupun mahabbah dan jamuan Mahabbah Ulama dan Umara kita juga turut mengusahakan program Muzakarah Ulama dan Umara,”katanya.

Program Muzakarah Ulama dan Umara merupakan acara terakhir dalam Festival Turath Islami Selangor yang berlangsung selama enam hari bermula 20 hingga 25 Mei ini.


Pengarang :