Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program eUsahawan MDEC bantu tingkat kemahiran, pemasaran digital

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan Program eUsahawan bagi tujuan membina budaya lebih inklusif ke arah penggunaan teknologi digital.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata program itu juga bagi menyokong pembangunan kemahiran keusahawanan digital terutama dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang.

“Program eUsahawan menyediakan pelbagai latihan peningkatan kemahiran digital yang dilaksanakan secara dalam talian dan fizikal kepada usahawan dan peniaga kecil tempatan di seluruh Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (HARAPAN-Damansara) mengenai inisiatif yang telah dijalankan agensi kerajaan dalam mempromosikan perniagaan digital serta langkah bagi membantu syarikat tempatan di pasaran global.

Teo berkata MDEC menawarkan beberapa modul latihan program eUsahawan sejak 2015 antaranya eUsahawan Fundamental berkaitan latihan asas keusahawan digital yang merangkumi pengurusan perniagaan, keusahawanan, pendigitalan dan pemasaran digital.

Mulai tahun ini juga, beliau berkata latihan eUsahawan Modular diperkenalkan bagi menawarkan latihan terperinci berkaitan pengurusan, pemasaran dan penggunaan teknologi digital seperti Strategi Model Perniagaan, Pembangunan Kandungan Kreatif, Penggunaan Platform Media Sosial dan Pengurusan Platform e-Dagang.

Katanya inisiatif itu bagi membantu syarikat tempatan dalam mempromosikan dan mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan serta global.

Selain itu, MDEC turut mempunyai jaringan kerjasama di 15 negara termasuk Asia Tenggara (Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Cambodia), Taiwan, Hong Kong, Australia, Jepun, UAE (Dubai), Arab Saudi serta Bangladesh, dan kini dalam proses meneroka Korea Selatan, Turkiye dan United Kingdom.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi membantu syarikat tempatan ke pasaran global termasuk menghubungkan syarikat tempatan dengan pemain ekosistem terlibat, membantu syarikat dalam mesyuarat padanan perniagaan melibatkan rakan niaga ekosistem serta fasilitasi Geran Eksport Malaysia Digital (MDXG) kepada syarikat berkelayakan.

– BERNAMA


Pengarang :