Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi ke reruai makanan sempena program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Rumah terbuka negeri serata daerah semarak semangat Kita Selangor

SHAH ALAM, 6 MEI: Dato’ Menteri Besar berharap penganjuran rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri di serata daerah mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk sekali gus menyemarakkan semangat Kita Selangor.

Menerusi kiriman video di Instagram, Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama rakyat dalam Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di tiga daerah kerana terlibat sesi lawatan ke Amerika Syarikat (AS).

“Selamat Hari Raya Aidilfitiri saya ucapkan kepada warga Selangor, khususnya yang menghadiri JKSA di daerah Hulu Langat, Petaling dan Kuala Langat. Maaf saya tidak dapat bersama kerana sesi lawatan ke Amerika Syarikat.

“Namun saya percaya, ia tidak mengurangkan kemeriahan sambutan Aidilfitiri yang dianjurkan di sembilan daerah terutamanya di tiga daerah ini.

“Semoga majlis ini (JKSA) mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain mengukuhkan semangat kekitaan sesama kita untuk menyemarakkan semangat Kita Selangor,” katanya.

Amirudin sebelum ini dilapor akan mengetuai delegasi 11 syarikat tempatan berkaitan teknologi ke AS dari 1 hingga 4 Mei ini dalam sidang kemuncak pelaburan Select USA Investment 2023.

Semua 11 syarikat syarikat pemula niaga yang dipilih Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) terlibat dalam pelbagai bidang seperti pengangkutan pintar, bioteknologi, teknologi sumber manusia, teknologi kewangan dan pelancongan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi reruai makanan ketika Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

JKSA diteruskan minggu ini bermula di Hulu Langat diikuti daerah Petaling bertempat di tapak pasar malam Sungai Buloh (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, program rumah terbuka Aidilfitri yang berlangsung di sembilan daerah dimulakan di Sepang, Hulu Selangor dan Klang.

Orang ramai membanjiri rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :