Ketua Division Khidmat Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Daud Abd Rahman berucap ketika Majlis Aidilfitri MBI Selangor bersama media di Eastin Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 10 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI berperanan jaya agenda ekonomi negeri, jamin kesejahteraan rakyat

PETALING JAYA, 10 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI antara agensi yang diberi peranan penting memastikan kejayaan agenda negeri yang disusun menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ketua Divisyen Khidmat Korporatnya Daud Abd Rahman berkata rancangan bagi tempoh lima tahun itu memfokuskan empat teras iaitu pengukuhkan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial, memacu kelestarian dan memantapkan tadbir urus.

“RS-1 adalah panduan hala tuju dan pembangunan dasar negeri yang holistik bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri Selangor.

“Teras pertama iaitu pengukuhan ekonomi diketuai oleh MBI. Antara peranan utama MBI adalah untuk mengukuhkan lagi status Selangor sebagai nadi pertumbuhan ekonomi.

“MBI juga berperanan memastikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan berkualiti di Malaysia dan di rantau Asia. Tumpuan diberi kepada sembilan sektor utama antaranya aeroangkasa serta ekonomi digital,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Aidilfitri MBI bersama pengamal media yang turut disertai anak syarikat MBI seperti Media Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Tourism Selangor.

Pada 2 Ogos tahun lepas lalu, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

RS-1 berfungi membina daya tahan kukuh kepada negeri bagi mendepani cabaran masa hadapan dalam persekitaran yang semakin kompleks.

Pelan pembangunan negeri itu turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Ketua Division Khidmat Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Daud Abd Rahman (tengah) bergambar bersama pengamal media dan wakil anak syarikat negeri ketika Majlis Aidilfitri MBI Selangor bersama media di Eastin Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 10 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, mengulas mengenai program hari ini, Daud berkata sambutan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada media yang sentiasa memberi sokongan kepada MBI.

“Banyak liputan berita yang disediakan oleh rakan-rakan media amat membantu dari segi penyampaian maklumat kepada rakyat Malaysia terutama kepada golongan sasar.

“Kerjasama erat antara MBI dan rakan-rakan media ini diharap dapat dikekalkan dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :