Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim bergambar bersama Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Zulkurnain Che Ali dan Ahli Majlis selepas Mesyuarat Penuh MBSJ di Ibu Pejabat MBSJ Subang Jaya pada 24 Mei 2023. Foto Ihsan MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ utamakan, segera selesai aduan penduduk

Oleh Diana Abd Wahab

SUBANG JAYA, 25 MEI: Kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) digesa lebih proaktif menguruskan aduan demi kesejahteraan penduduk.

Datuk Bandarnya berkata warga kerja MBSJ juga perlu sentiasa siap siaga dalam setiap tindakan dan arahan untuk atasi aduan penduduk.

“Kakitangan MBSJ perlu mainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga MBSJ untuk cari permasalahan dan selesaikan masalah rakyat.

“Sebagai contoh jika kita dalam perjalanan pulang ternampak longgokan sampah atau jalan berlubang yang tidak diiturap boleh kemukakan terus kepada jabatan berkenaan untuk ambil tindakan sewajarnya.

“Utamakan aduan bermakna kita mainkan peranan yang lebih ke hadapan dengan gerakkan 1,600 kakitangan agar kita menjadi jentera paling cekap atasi masalah rakyat,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Selain itu, kakitangan MBSJ juga perlu mengelakkan salah guna kuasa dan tingkah laku yang boleh menimbulkan tidak puas hati masyarakat.

“Warga kerja sentiasa diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil dan mengamalkan etika kerja yang betul pada setiap masa.

“Sebarang salah laku warga kerja akan dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Pengarang :