Oleh Diana Abd Wahab
SHAH ALAM, 31 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bakal menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor anjuran Invest Selangor Berhad pada 6 Jun ini.
Yang dipertuanya berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memenangi kategori lokasi pelaburan paling diminati di Selangor dari 2019 hingga 2022.
“Objektif utama majlis adalah memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelabur atas sumbangan serta kecemerlangan yang ditunjukkan terhadap pembangunan selain prestasi ekonomi yang kukuh di Selangor.
“Tahniah diucapkan kepada MPK atas penganugerahan ini,” kata Noraini Roslan ketika mempengerusi mesyuarat penuh bulanan MPK semalam.
Beliau menambah majlis anugerah yang akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Aminudin Shari bertujuan menghargai sokongan pelabur yang memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan.