Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama pengunjung program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai dijemput meriahkan rumah terbuka Aidilfitri Kuala Selangor Sabtu ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 MEI: Dato’ Menteri Besar menjemput orang ramai khususnya di Kuala Selangor hadir memeriahkan rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri sempena Aidilfitri di daerah itu Sabtu ini.

“Warga Kuala Selangor dijemput untuk menghadiri Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) pada Sabtu ini bermula jam 8 malam di Padang Awam Bukit Badong.

“Hadir bersama keluarga dan kenalan sempena musim perayaan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

JKSA di Kuala Selangor dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Scorr dan Gambus Warisan Tanjong Karang bagi menghiburkan pengunjung.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata majlis turut menyajikan pelbagai juadah raya kepada tetamu antaranya pecal, laksa, soto, ketupat, lemang dan rendang selain kuih-muih.

“Lebih menarik pelbagai barangan elektrik turut ditawarkan kepada pengunjung menerusi program cabutan bertuah,” katanya menerusi Facebook.

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal membuka tirai pada 28 April lalu di Pekan Salak, Sepang.

Program sama sebelum ini diadakan di Padang Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April), Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April) dan Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei).

Ia diteruskan ke Pasar Malam Paya Jaras, Sungai Buloh (6 Mei) dan esok di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam.

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada Ahad ini yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Amirudin berkata jelajah itu antara inisiatif yang memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat bertemu pemimpin negeri.

Beliau menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.


Pengarang :