Sekitar penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Drama Selalu Ada ditayang semula di TV 2, SelangorTV mulai 13 Mei

SHAH ALAM, 11 MEI: Drama Selalu Ada yang menekankan mesej kekeluargaan dan pelbagai bentuk bantuan disediakan pentadbiran negeri akan ditayangkan semula jam 9 malam di saluran TV2 pada 13 Mei.

Karya terbitan Kerajaan Selangor arahan Che Mie yang menampilkan barisan pelakon popular seperti Erra Fazira dan Sophia Albarakbah turut ditayangkan di Youtube SelangorTV jam 9 malam pada 15 Mei.

Drama 45 minit tersebut turut dibintangi Syafie Naswip, Datuk Jalaluddin Hassan, dan Kazar Saisi selain kemunculan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai penjual daging.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah memaklumkan karya tersebut menerangkan secara umum beberapa inisiatif negeri yang memanfaatkan rakyat bermula daripada bayi.

Tangkap layar beberapa babak dalam drama Selalu Ada yang menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pelakon Ropie selaku penjual daging. Drama sempena Aidilfitri ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Media Selangor

“Menerusi drama ini, ada 20 inisiatif dikongsi manakala selebihnya menerusi poster dan papan iklan pada babak seperti di hentian bas,” katanya yang turut membuat penampilan khas dalam drama itu.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri yang menampilkan selebriti tanah air bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.

Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :