Zanil Yusof, 67, (kiri) dan rakannya Hamid Hassan, 64, membersihkan kebun di tapak pertanian komuniti Surau Al-Sobah, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk luar bandar digalak usaha tanaman sara diri ketika kemarau

GUA MUSANG, 15 MEI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggalakkan masyarakat di luar bandar melibatkan diri dengan tanaman sara diri bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas akibat musim kemarau yang melanda ketika ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata pihaknya melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ketika ini sedang giat mempromosikan usaha tersebut bagi tujuan mengekalkan keterjaminan makanan dalam kalangan masyarakat berkenaan.

“Antara langkah segera Kesedar adalah menggalakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi dalam kalangan suri rumah dengan bantuan hingga RM5,000 bagi setiap isi rumah.

“Hingga kini, sebanyak 50 isi rumah terlibat mengusahakan tanaman sara diri seperti mentimun, cili dan sawi membabitkan tanah seluas kira-kira 17 hektar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Ibu Pejabat Kesedar hari ini.

Rubiah berkata agensi itu juga mengambil inisiatif mengusahakan beberapa tanaman untuk jangka masa panjang dengan menjalankan kajian terhadap jenis tanaman yang bersesuaian dengan keadaan cuaca semasa.

“Untuk jangka masa panjang, Kesedar telah menyediakan 900 hektar tanah di Paloh 4, Gua Musang bagi menyokong keterjaminan makanan dan kajian mengenai kesesuaian tanaman sedang dilaksanakan dengan penanaman dijangka bermula tahun ini.

“Agensi itu turut menyediakan tanah untuk pertanian Agrotek di Kampung Manek Urai Baru, Kuala Krai yang berkeluasan 33.75 hektar dan hingga kini 16 hektar telah ditanam dengan tanaman kekal serta jangka pendek,” katanya.

Terdahulu, Rubiah menyampaikan sumbangan raya kepada 80 asnaf membabitkan kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan sekitar Gua Musang.

-BERNAMA


Pengarang :