Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas ketika Majlis Jalinan Aidilfitri 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Konvensyen kerajaan perpaduan bukti muafakat pimpinan utama

SHAH ALAM, 15 MEI: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan pelbagai parti politik membuktikan permuafakatan dalam kalangan pimpinan utama.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor berkata elemen itu sekali gus menghapus dakwaan perpecahan dan keruntuhan gabungan berkenaan seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.

“Hasil konvensyen ini adalah muafakat yang padu dalam kalangan pimpinan utama selain hapuskan dakwaan tentang perpecahan.

“Ini petanda baik kelompok kerajaan perpaduan sedia duduk satu meja, merencana dan merancang serta lupakan beberapa perbezaan dan mencari titik persamaan untuk memulihkan Malaysia sehingga tamat penggal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar turut menjelaskan konvensyen itu memberi kesan kepada penyelesaian isu yang membawa kepada ketegangan pada semua pihak.

“Impak konvensyen ini beri kesan baik dalam perundingan kerusi dan yang dimuktamadkan di peringkat persekutuan.

“Isu-isu asas yang selesai dengan tata kelola yang baik, pentadbiran berhemah, menyantuni rakyat dan kepedulian kepada golongan memerlukan,” katanya.

Konvensyen bertemakan Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur julung kali diadakan dengan menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan kerajaan perpaduan.


Pengarang :