Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan layak bertanding Piala Asia selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala Asia: Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Jordan, Bahrain

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain pada Piala Asia AFC 2023 yang dijadual berlangsung pada Januari depan.

Sesi undian itu diadakan di Doha, Qatar malam ini dan disiarkan di YouTube.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang kini berada di ranking ke-138 dunia berdepan tugas berat berdepan Korea Selatan selaku pasukan ke-27 terbaik dunia, selain pernah menjuarai piala berprestij itu pada edisi 1956 dan 1960.

Selain itu, Jordan dan Bahrain yang masing-masing berada di kedudukan ke-84 dan 85 dunia turut bakal memberikan saingan hebat kepada skuad kebangsaan.

Piala Asia AFC 2023 akan membuka tirai pada 12 Jan hingga 10 Feb 2024.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket sebagai tuan rumah.

Sementara itu, Pan Gon berkata skuad Harimau Malaya akan memberikan persembahan yang terbaik untuk membanggakan negara meskipun diundi bersama Korea Selatan yang merupakan antara pasukan terbaik dalam kejohanan itu.

“Dua pasukan dari rantau ini, Korea Selatan ialah antara pasukan yang terbaik, kami akan cuba yang terbaik untuk bersaing dengan mereka untuk membanggakan rakyat Malaysia,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media malam ini.

Berikut adalah keputusan undian bagi Piala Asia AFC 2023:

Kumpulan A: Qatar, China, Tajikistan, Lubnan 

Kumpulan B: Australia, Uzbekistan, Syria, India

Kumpulan C: Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Palestin 

Kumpulan D: Jepun, Indonesia, Iraq, Vietnam

Kumpulan E: Korea Selatan, Malaysia, Jordan, Bahrain

Kumpulan F: Arab Saudi, Thailand, Republic Kyrgys, Oman

 

— BERNAMA

 


Pengarang :