Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi santai petang dan dialog bersama anak muda di Kolej Vokasional Langkawi, Kedah pada 24 Mei 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM nasihat anak muda jangan jadi pak turut, hidupkan budaya membaca

LANGKAWI, 24 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu generasi muda yang bakal menjadi pewaris pimpinan negara mempunyai nilai dan idealisme untuk membawa perubahan kepada diri sendiri dan masyarakat.

Anwar berkata idealisme itu dapat membantu anak muda mencari erti kebenaran dan keadilan sekali gus menolak sebarang bentuk kezaliman dan penindasan di negara ini.

“Sekarang saya memegang amanah, saya nak jadikan anak muda itu generasi baharu yang boleh berfikir, boleh menimba ilmu dan menilai dengan baik dan tahu apa itu mungkar, kezaliman, penindasan dan penipuan.

Sama ada orang politik, profesional dia tak peduli malah dia tak peduli parti mana pun. Kalau dia bersalah dia tetap bersalah…kerana dengan menilai benar atau tidak dan mengkaji, anak muda tidak mudah jadi pak turut atau ikut membuta tuli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Kolej Vokasional Langkawi, di sini hari ini.

Anwar turut mengingatkan anak muda agar tidak meninggalkan budaya membaca kerana ilmu dapat membantu mereka membuat penilaian dengan lebih baik dan menegakkan keadilan terhadap sebarang isu.

Ditanya mengenai sikap anak muda kini yang lebih gemar kepada media sosial, Anwar berkata beliau memilih untuk melihatnya daripada sudut positif iaitu memastikan penggunaannya untuk tujuan baik dan tidak terlalu obsesif.

“Saya tidak mewakili pandangan negatif terhadap orang muda…dia jangan (sampai) jadi taksub dan obsesi sampai tak boleh fikir…bagi saya tidak membebankan, selagi dia ada nilai, dia membaca dan jadi manusia baik dan tahu beza minat dan tak ganggu keutamaan tidak apa,” katanya.

Bagi menjawab soalan mengenai bantuan e-Tunai Belia Rahmah, Anwar berkata ia akan disalurkan pada Jun ini.

E-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 merupakan inisiatif diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 bagi membantu meringankan kewangan golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dengan peruntukan RM400 juta.

— BERNAMA


Pengarang :