EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berucap pada Majlis Pelancaran bas pelancongan Selangor Hop-On Hop-Off (HOHO) di IOI City Mall, Putrajaya pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rancak pelancongan, Selangor hasrat bina kapal korek terbesar dunia

Oleh Shamz Johan

SEPANG, 21 MEI: Projek pembangunan kapal korek terbesar di dunia antara usaha dirancang Kerajaan Negeri bagi merancakkan industri pelancongan di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pelan dengan peruntukan lebih RM10 juta itu kini sedang menunggu kelulusan dan akan dibina di Dengkil.

“Kita ingin mendirikan lebih banyak pusat-pusat pelancongan terutama di sekitar pesisir pantai seperti di Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

“Kerajaan juga sudah meluluskan (dasar) untuk membangunkan kapal korek terbesar bukan sahaja di Malaysia malah terbesar di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran bas pelancongan Hop-On Hop-Off (HOHO) di IOI City Mall, Putrajaya di sini semalam.

Pengamal media dibawa melawat destinasi pelancongan menaiki bas pelancongan Selangor Hop-On Hop-Off (HOHO) selepas majlis pelancaran di IOI City Mall, Putrajaya pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan lain, Loy Sian berkata 350 chalet dengan konsep dalam pokok bakau di Taman Alam, Kuala Selangor turut dalam perancangan pembinaan.

Jelasnya, tumpuan utama adalah untuk membangunkan destinasi ekopelancongan dan agropelancongan seperti pembangunan di Pulau Ketam dan cadangan membina hotel dalam hutan di Sungai Congkak.

“Ada tawaran untuk bangunkan Pulau Ketam, anggaran dalam RM1 bilion, selain tawaran membina hotel dalam hutan oleh syarikat swasta yang ingin melabur dan menaikkan tarikan pelancongan di situ,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang menaik taraf beberapa pusat pelancongan seperti di Ampang Look Up Point di Hulu Langat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Hutan Lipur Kanching di Taman Templer.


Pengarang :