Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dalam program Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Klang, turut mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor catat hasil lebih RM893 juta tiga bulan pertama 2023

KLANG, 1 MEI: Kutipan hasil negeri berjaya mencapai 45 peratus iaitu RM893.11 juta melebihi sasaran ditetapkan setakat 15 Mac lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasil itu merupakan angka yang memberangsangkan dalam tempoh kurang tiga bulan pertama tahun ini dari RM2 bilion yang disasarkan pada 2023.

“Ini juga adalah tanda keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan di Selangor terhadap pentadbiran yang telah mengemudi negeri ini hampir lima tahun sebelum kita memasuki pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Kita tidak boleh ambil mudah keyakinan ini dan saya berharap keyakinan prestasi pungutan hasil negeri juga diterjemahkan dalam minggu dan bulan yang akan datang, insya-Allah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada program Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Klang di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan pada program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di padang Taman Sri Kerayong di sini semalam.

Amirudin berkata susulan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini pihaknya mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023.

“Insentif ini bukan sahaja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat awam Selangor, tetapi juga penjawat awam persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di negeri ini turut menerima manfaat ini.

“Ini dibuat julung kalinya di Selangor Darul Ehsan dan didorong atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri dalam tiga bulan pertama tahun ini,” katanya.

Orang ramai yang hadir pada program Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Klang di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Tengku Norashikin berkenan berangkat memeriahkan program berkenaan.

Rumah terbuka daerah Klang itu menerima kunjungan lebih 10,000 tetamu dan turut dimeriahkan dengan rewang sekampung iaitu penyediaan juadah dimasak secara gotong-royong bersama penduduk setempat.

Program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April lalu di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang.

Program yang menjelajah setiap daerah negeri ini dianjurkan di padang taman awam, Hulu Bernam, Hulu Selangor kelmarin.

Ia diteruskan pada 5 Mei di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat; tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :