BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sisi gelap kecerdasan buatan, si ‘ahli nujum’ manipulasi manusia

SHAH ALAM, 30 MEI: Baru-baru ini, taikun teknologi Elon Musk menulis surat terbuka meminta makmal-makmal yang membangunkan kecerdasan buatan (AI) berhenti seketika melatih AI.

Seruan dibuat kerana prestasi AI seperti ChatGPT dan Midjourney yang sangat menakjubkan.

ChatGPT (versi GPT-4) berupaya berbual dengan manusia secara semula jadi dan bernuansa, seolah-olah berbual dengan manusia sebenar.

Selain itu, ChatGPT juga mempunyai pengetahuan yang sangat luas sehingga dapat menunaikan permintaan kita dengan konteks yang betul.

Lebih menakjubkan, ChatGPT juga dapat memberikan kita kod pengaturcaraan untuk kita membangunkan permainan video dan laman sesawang.

ChatGPT juga dapat membaca imej, mencipta bahasa baharu, melepasi ujian perubatan dengan cemerlang, mencipta lirik lagu baru dan pelbagai lagi.

Selain ChatGPT, kita juga menyaksikan kemampuan Midjourney (versi V5) yang mampu menjana imej yang tidak wujud dan realistik hanya melalui prom (prompt).

Logo OpenAI dan ChatGPT melalui ilustrasi yang diambil pada 3 Februari 2023. Foto REUTERS

Daripada awal kita mengenali Midjourney dan ChatGPT, prestasinya kadangkala mengecewakan. Midjourney tidak pandai melukis tangan, ChatGPT pula dapat menjawab soalan dengan tepat.

Tidak sampai setahun, kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi. ChatGPT dan Midjjourney merupakan AI yang popular.

Ada banyak lagi AI lain yang mungkin ramai tidak tahu seperti Jenni yang boleh menulis artikel, Quillbot yang tahu memparafrasakan, 10Web yang boleh menjana laman sesawang kita sendiri, WonderDynamics yang boleh menghasilkan animasi berdasarkan video, HeadshotPro yang boleh menjadi jurugambar kita tanpa kehadiran kita pun dan banyak lagi.

Musk berhasrat membentuk polisi AI bagi melindungi manusia daripada ancaman, serupa polisi bagi nuklear.

AI perlu dinilai terlebih dahulu sebelum meneruskan kemajuannya. Musk memerhatikan ramai berlumba-lumba memajukan AI sehingga terlupa akan akibatnya.

AI perlu ada polisi, regulasi dan seliaan. AI mungkin tidak berupaya memberikan kuasa pemusnah seperti nuklear. Tetapi kesan buruk AI dapat mengoyakkan fabrik sosial manusia.

Di Twitter kita dapat memerhatikan AI menghasilkan gambar realistik figura penting seperti Donald Trump dan Barrack Obama melakukan aktiviti yang mereka tidak pernah lakukan.

Ia tidak hanya terbatas pada gambar, kini sudah munculnya teknologi penghasilan video palsu tetapi kelihatan benar. Rupa dan suara figura terkenal dapat diubah dan dimanipulasi – teknologi palsu asli.

Kuasa AI

Umumnya, di dunia digital yang segala maklumat hanya dapat diperoleh di hujung jari, maklumat salah merupakan ancaman yang tidak boleh kita abaikan.

Perkara yang kita perlu tahu, banyak AI mempunyai sifat kotak hitam. Kita tahu maklumat yang diberikan kepada AI.

Kita tahu hasilnya, tetapi kita tidak tahu dan tidak jelas mengenai proses bagaimana AI boleh mencapai hasil berdasarkan maklumat yang disuap.

Semasa AlphaGo menewaskan legenda pemainan catur Go, Lee Sedol, orang pun tidak tahu bagaimana AlphaGo merangka strateginya sendiri.

Perkataan kecerdasan buatan kelihatan pada ilustrasi yang diambil pada 31 Mac 2023. Foto REUTERS

Kita cuma tahu prestasi AlphaGo sangat cemerlang kerana ia dilatih, tetapi apa permainan dan tipu helahnya tidak jelas. Ini cerita hampir 20 tahun lalu. Bayangkan betapa hebatnya AI terkini.

Hal yang membimbangkan ialah apabila AI semakin maju, banyak perkara yang AI telah teroka, tetapi kita tidak jelas perkara yang diterokai walaupun kita sendiri yang menciptanya.

Sampai satu saat, apa sahaja yang AI berikan, kita hanya mampu percaya. ChatGPT pun sudah menunjukkan kejadian ini.

Apabila kita meminta ia sesuatu berserta rujukan, ramai yang mudah percaya walaupun rujukan itu tidak betul. Ini salah satu kes mudah.

Jika kita abaikan hal ini, bayangkan apabila AI telah menjadi teknologi yang sangat baik sehingga kita menggelarnya ahli nujum yang bertanggungjawab membuat apa jua keputusan untuk manusia daripada kehidupan peribadi sampai hala tuju negara.

Sebab kita percaya AI sangat berkebolehan dan berpengetahuan, kita tahu ia melakukan kurang kesilapan berbanding manusia, kita hanya mampu percaya sahaja keputusan AI tanpa ada penjelasan bagaimana AI boleh mencapai keputusan itu. AI buang pekerja pun kita tidak jelas sebabnya.

Perkara yang kita perlu jelas, AI bukan seperti televisyen, kereta ataupun kapal terbang. Kita boleh berikan televisyen pelbagai keupayaan yang kita mahukan dan keupayaan itu akan kekal begitu.

AI pula tidak berfungsi seperti itu. Kita tidak berikan keupayaan dan kuasa kepada AI. AI peroleh keupayaannya dengan belajar sendiri. AI sekarang bukan hanya dilatih dalam makmal saja.

Kita sebagai pengguna pun sebenarnya sedang melatih AI menjadi lebih tepat dan berkuasa. Jadi, ada perkara yang kita latih, penciptanya tidak tahu pun.

Justeru, polisi menguruskan dan menilai AI penting untuk melindungi, di samping tidak membantutkan kemajuan memudahkan urusan manusia.

 


Pengarang :