Penyelaras DUN Teratai Alice Tan bergambar dengan anggota polis dan pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Khas di Balai Bomba Pandan Indah, Ampang Jaya pada 14 Februari 2023. Foto Penyelaras DUN Teratai
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Teratai anjur jualan murah 3 hari berturut mulai 6 Jun

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 30 MEI: Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai mengadakan program jualan murah tiga hari berturut di tiga lokasi sekitar Ampang Jaya mulai 6 hingga 8 Jun ini.

Pegawai penyelarasnya berkata tempat berkenaan ialah Pangsapuri Cemara, Taman Bukit Segar; Dewan Komuniti Taman Putra, Jalan 19 dan pekarangan Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana.

“Penduduk di tiga lokasi tersebut dijemput untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) ini bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada tarikh ditetapkan.

“Sila bawa kad pengenalan untuk pengesahan kewarganegaraan,” kata Alice Tan ketika dihubungi semalam.

Produk ditawarkan dalam program dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor ini ialah ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

JER merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang telah memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas dan diperluas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

PKPS yang mengendalikan program tersebut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi.

Orang ramai juga boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS dan Facebook PKPS untuk lokasi jualan.


Pengarang :