Skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada 2 Mei 2023. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Aksi sukar menentang Laos esok – Elavarasan

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PHNOM PENH, 2 MEI: Skuad bola sepak lelaki Bawah 22 Tahun (B-22) negara dijangka menempuh laluan sukar dalam aksi sulung Kumpulan B menentang Laos esok pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Ketua jurulatih E. Elavarasan memberi bayangan Laos akan turun bermati-matian selepas mereka tewas dalam perlawanan pertama kumpulan kepada Vietnam, 2-0, di Stadium Prince, pada Ahad.

“Memandangkan Laos kalah perlawanan pertama, mereka kena bangkit pada perlawanan kedua dan saya jangka ia agak sukar untuk kita.

“Walaupun tewas kepada Vietnam, namun saya lihat Laos bermain baik cuma tak dapat lakukan serangan balas yang sebaiknya,” katanya kepada Bernama sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama mengunci mulut mengenai strategi yang bakal direncanakannya selain enggan mengulas mengenai pemain lawan mana yang bakal memberi ancaman besar kepada anak buahnya di Stadium Olimpik, esok.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan agar Malaysia dapat pulang dengan tiga mata penuh ketika berdepan pasukan kendalian Michael Weiss itu.

Beliau juga mahu skuad negara yang baharu sahaja menjejakkan kaki ke Phnom Penh dapat menyesuaikan diri dengan cepat termasuk cuaca panas di sini sebelum memulakan kempen di temasya sukan dwitahunan itu.

Selepas Laos, Malaysia dijadual bertemu Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura (11 Mei).

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei, sebelum aksi final atau penentuan tempat ketiga dan keempat pada 16 Mei.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah, namun gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final.

– BERNAMA


Pengarang :