Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah di Surau Al-Falah, Taman Sirambai, Bukit Melawati pada 17 Mei 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suri rumah teruja pertama kali beli barangan murah di jualan PKPS

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Seorang suri rumah begitu teruja apabila berpeluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Siti Gina Talib, 43, berkata ini pertama kali beliau datang ke Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Surau Al-Falah Taman Sirambai di sini hari ini.

Siti Gina Talib

“Saya melalui kawasan ini untuk hantar anak ke sekolah dan ternampak orang ramai berkumpul. Saya singgah dan kawan beritahu ada jualan barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah.

“Agak teruja sebab tak pernah beli dan nak lihat bagaimana barangannya. Saya beli ikan, ayam, daging dan beras dengan jumlah RM72, jika di luar mungkin mencecah RM100,” katanya.

Manakala, warga emas, Siti Sumiyah Kudran, 70, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang hadir setiap kali jualan itu diadakan.

Siti Sumiyah Kudran

“Saya memang selalu datang ke program jualan barangan keperluan asas ini bersama suami dan kebetulan stok bekalan makanan juga hampir habis.

“Barangan dijual amat murah dan tidak boleh dapat di pasaran luar. Harap sangat jualan ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia membantu rakyat,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :