Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri program SAY Aspire Pitch Finale di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 25 Mei 2023. Foto ihsan Selangor Youth Community
AGENDANASIONAL

Syarikat jual kosmetik, bijirin ke peringkat akhir SAY Aspire

SHAH ALAM, 27 MEI: Sepuluh syarikat perniagaan diterajui belia terpilih membuat pembentangan akhir program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire untuk edisi tahun ini.

SAY dalam kenyataan memberitahu produk niaga terlibat seperti bijirin dan snek sarapan sihat, ujian kit halal, kosmetik, dadih dan yogurt, pakaian sukan dan pes masakan.

Menurut pertubuhan itu, tiga pemenang utama akan menerima ganjaran berdampak tinggi antaranya tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk promosi dan rundingan niaga.

“Pemenang juga menerima akses kepada pasukan perolehan dan bimbingan khas secara individu untuk membantu mereka mematerialisasikan impian eksport.

“Turut ditawarkan peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang berkaitan, trofi dan sijil,” jelasnya, yang memaklumkan keputusan akhir diumumkan tidak lama lagi.

Sesi saringan akhir dinilai panel berpengalaman termasuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Rizal Nainy.

SAY Aspire merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpontensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Program yang dianjurkan sejak 2018 terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur antara 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

 


Pengarang :