Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menghidu bau air yang mengalir daripada sebuah kilang di Beranang, Semenyih yang berpotensi menyebabkan pencemaran pada 22 Mei 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS kawal pencemaran berjaya elak henti tugas loji air

SHAH ALAM, 23 MEI: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengawal pencemaran di lembangan Sungai Langat semalam berjaya mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA) Semenyih.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata agensi berkenaan bersama pihak berkuasa lain menerima maklumat daripada orang awam membabitkan beberapa premis di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Hasil siasatan, katanya, mendapati terdapat aliran air daripada sebuah kilang yang mengalir ke saliran berhampiran dan berpotensi menjejaskan Sungai Kabul, 200 meter daripada lokasi itu.

“Pemerhatian LUAS mendapati efluen yang mengalir keluar daripada premis disyaki limpahan air proses kitar semula plastik dan air yang berbau dalam kawasan berkenaan.

“Penemuan juga mendapati tiada sistem pengumpulan air sisa yang disyaki berkemungkinan dilepaskan ke persekitaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Loy Sian berkata LUAS mengeluarkan surat arahan bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis untuk menghentikan pelepasan efluen serta-merta dan membuat pembersihan segera.

Tegasnya, pemilik premis juga diarah memulihkan kawasan itu berikutan ia berisiko tinggi menghasilkan air sisa dengan kuantiti tinggi dan boleh menyebabkan pencemaran.

“LRA Semenyih pada jarak anggaran 17km di bahagian hilir premis juga berisiko berdepan henti tugas jika berlaku pelepasan air sisa yang banyak dalam tempoh lama,” katanya lagi.

 


Pengarang :