Orang ramai beratur membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat DUN Subang Jaya di USJ8, Subang Jaya pada 7 Jun 2023.FotoMOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

12 kali jualan murah, lebih 5,000 keluarga di DUN Subang Jaya terima manfaat

Oleh Azian Aziz

SUBANG JAYA, 7 JUN: Lebih 5,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menerima manfaat program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri yang diadakan sejak Januari tahun ini.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak 12 program Jualan Ehsan Rakyat (JER) diadakan dalam tempoh tersebut dengan yang terbaharu berlangsung hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Hari ini adalah program pertama bagi bulan Jun. Esok kita ada satu lagi program JER di Pangsapuri Sri Tanjung, USJ16.

“Kita akan cuba adakan lebih banyak program JER. Kita sedang memohon dengan PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor),” katanya ditemui dalam program JER  di  Flat Court 6 Good Year Subang Perdana, USJ 8 di sini.

Mengenai jualan hari ini, Michelle berkata selain enam barangan asas ditawarkan PKPS, turut dijual tiga jenis sayur kailan dan roti croissant mini masing-masing berharga RM2 dan RM1 sebungkus.

“Sayur-sayuraan ini dijual oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita sangat mengalu-alukan penyertaan pihak lain dalam jualan murah sekali gus memberi lebih banyak pilihan barangan kepada pembeli,” katanya.

Sementara itu, pegawai PKPS Nazira Ahmad berkata lima barangan iaitu 500 ekor ayam, 300 papan telur,  300 bungkus ikan, 300 pek daging dan 300 kampit beras habis dalam tempoh dua jam.

Pegawai PKPS Nazira Ahmad ketika. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“300 pembeli datang ke jualan hari ini dan mereka beratur secara berperingkat sejak pukul 9 pagi,” tambahnya sambil memuji sikap sebahagian besar pembeli yang membawa beg guna semula.

Jualan bertujuan meringankan beban rakyat menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang kini dikenali Jualan Ehsan Rahmah dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bertanya khabar pengunjung Jualan Ehsan Rakyat DUN Subang Jaya di USJ 8, Subang Jaya pada 7 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
Orang ramai beratur membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat DUN Subang Jaya di USJ8, Subang Jaya pada 7 Jun 2023.FotoMOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :