Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri Majlis Penganugerahan Malaysian Book of Record (MBOR) kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran MBOR Jwan Heah pada majlis yang berlangsung di Wisma PKPS Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS diiktiraf Malaysia Book of Records anjur jualan bersubsidi terbesar

SHAH ALAM, 15 MEI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata Jualan Mega Ehsan Aidilfitri (JMEA) pada pada 15 dan 16 April itu mencatat jualan sebanyak 30,000 ekor ayam dan 10,712 papan telur.

“JMEA di beberapa lokasi dilaksanakan menerusi kerjasama PKPS selaku penganjur utama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada PKPS untuk meneruskan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah.

“Inilah program jualan dengan kuantiti terbesar yang pernah PKPS anjurkan sejak memulakan program Jelajah Ehsan Rakyat. Rekod ini membuktikan program subsidi bersasar ini amat berkesan dan dinanti rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan MBOR dan Majlis Ehsan Raya Aidilfitri PKPS di Wisma PKPS hari ini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mohamad Khairil berkata angka jualan itu berjaya dicapai menerusi kerja keras dan koordinasi yang baik dalam kalangan warga kerja PKPS selain penglibatan sukarelawan khususnya daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pengiktirafan ini kami jadikan sebagai inspirasi untuk terus melaksanakan program berimpak tinggi bagi membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah di seluruh Selangor,” katanya.

Selain jualan mega Aidilfitri, PKPS turut mengendalikan program jualan murah yang menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Orang ramai menunggu giliran untuk membeli pelbagai barangan asas yang dijual murah sempena Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Muhibbah Setia Alam pada 16 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI


Pengarang :