EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian meninjau keadaan lembu yang akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan sempena sambutan Aidiladha 2023 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

13 kampung Orang Asli terima lembu korban sumbangan negeri

KUALA SELANGOR, 28 JUN: Sebanyak 13 kampung Orang Asli dari enam daerah menerima sumbangan lembu korban daripada Kerajaan Negeri dengan peruntukan sekitar RM80,000 hari ini.

Agihan 13 ekor lembu untuk 2,903 penduduk beragama Islam membabitkan daerah Gombak, Petaling, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat, maklum EXCO hal ehwal Orang Asli.

“Kita memilih kampung yang ada surau dan wakil masyarakat yang boleh menguruskan urusan korban. Sumbangan dibuat melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad,” kata Hee Loy Sian ketika ditemui di sini.

Bantuan sempena sambutan Aidiladha diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohamad Anis Othman di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (dua, kiri) menyerahkan permit korban kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohamad Anis Othman (dua, kanan) ketika majlis serahan sumbangan lembu korban di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kampung terlibat ialah Hulu Batu, Hulu Kuang dan Batu 12 (Gombak), Bukit Bandaraya dan Bukit Lanjan (Petaling) serta Changkat Bintang, Tun Abduk Razak dan Bukit Manchong (Hulu Selangor).

Turut menerima agihan sama ialah Kuala Pangsun (Hulu Langat), Bukit Bangkong dan Sungai Buah di Sepang serta Kepau Laut dan Taman Desa Kemandol di Kuala Langat.

Loy Sian turut menjangka lebih banyak kampung Orang Asli akan mendapat sumbangan lembu korban tahun depan berdasarkan maklumat daripada Jakoa.

Selangor memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini, meningkat berbanding tahun lalu berikutan kenaikan harga seekor lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000.

Jumlah lembu juga bertambah daripada 660 kepada 700 ekor, manakala kambing kekal 1,000 ekor.


Pengarang :