Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menukar minyak enjin ketika majlis Perasmian Program Khidmat Komuniti Servis Minyak Enjin P-Panggilan dan Wanita Selangor Sihat dan Anggun di STDC, Kuala Selangor pada 14 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

150 pekerja p-panggilan terima manfaat, puji inisiatif MBI-STDC ringankan beban

Oleh IMAN IZZIQRY

KUALA SELANGOR, 14 JUN: Program servis minyak enjin pekerja p-panggilan anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dipuji pekerja sektor bekenaan.

Peserta program Abd Rahman Azmi, 39, berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak meringankan beban golongan sepertinya dan berharap program seumpamanya dianjurkan lebih kerap.

Abd Rahman Azmi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada MBI dan STDC. Program ini bukti keprihatinan terhadao kami, dapatlah berjimat minggu ini kerana saya tukar minyak enjin setiap minggu,” katanya ketika ditemui di STDC, di sini.

Abd Rahman antara 150 pekerja p-panggilan sekitar Kuala Selangor yang menerima baucar servis minyak enjin percuma menerusi program khidmat komuniti yang disempurnakan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Sementara itu, Raja Norazli Raja Aris, 23, turut berharap program berkenaan diadakan lebih kerap selain mengeratkan hubungan antara pekerja p-panggilan dengan pemimpin masyarakat atau agensi kerajaan.

Raja Rosaidi Raja Aris. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih dan gembira dapat tukar minyak hitam hari ini. Harap program ini dapat dianjurkan lagi,” katanya.

Selain program yang memberi manfaat kepada pekerja p-panggilan, MBI dan STDC turut menganjurkan program Wanita Selangor Sihat & Anggun (Wangsa) dengan menawarkan 300 baucar untuk golongan berkenaan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Dijadual berlangsung sehingga Ogos, Wangsa dikendalikan enam pelajar STDC jurusan Kecantikan Wanita berdasarkan janji temu yang dibuat penerima baucar.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berbual bersama peserta ketika majlis Perasmian Program Khidmat Komuniti Servis Minyak Enjin P-Panggilan dan Wanita Selangor Sihat dan Anggun di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 14 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :