Peserta membaca selawat Nariyah sempena Munajat Darul Ehsan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam pada 16 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

400 peserta bermunajat, mohon urusan Kerajaan Negeri dipermudahkan

SHAH ALAM, 16 JUN: Kira-kira 400 peserta mengikuti program Munajat Darul Ehsan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama pejabat Dato’ Menteri Besar malam ini.

Berlangsung di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, program keagamaan itu disertai pelajar dari Maahad Klang, Akademi Syahadah Tahfiz Al-Faizin, Kuala Selangor dan Maahad Tahfiz Darul Hafidzin, Klang.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program dianjur bagi memohon petunjuk Allah SWT supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlaku pada bila-bila masa berjalan lancar.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad bercakap kepada media selepas program Munajat Darul Ehsan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam pada 16 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sebelum bubar DUN, kita mohon kepada Allah SWT agar segala urusan Kerajaan Negeri dipermudahkan. Pada masa sama mengangkat pemimpin yang benar-benar boleh membawa rakyat ke arah kemakmuran dan membentuk kerajaan lebih baik.

“Program ini juga sebagai penyucian rohani supaya kita kembali kepada Allah termasuk sempena Festival Turath Islami yang diadakan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah sebelum bacaan selawat Nariyah sebanyak 4,444 kali yang dipimpin Ustaz Dr Ahmad Fakhrurrazi.

Peserta membaca selawat Nariyah sempena Munajat Darul Ehsan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam pada 16 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan Munajat Darul Ehsan merupakan program penutup kelolaan Pekawanis sebelum DUN dibubar.

“Sebelum ini kita sudah mengadakan banyak program secara mingguan dan bulanan. Jadi program munajat ini adalah yang terakhir (sebelum DUN bubar) dan mudah-mudahan menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Ustaz Dr Ahmad Fakhrurrazi memimpin bacaan selawat Nariyah sempena Munajat Darul Ehsan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam pada 16 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :