EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama selepas pertemuan bersama Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) berhubung isu pendaftaran sekolah agama persendirian di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 27 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

55 sekolah agama persendirian terus beroperasi, NGO hargai usaha negeri

SHAH ALAM, 27 JUN: Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) menghargai usaha Kerajaan Negeri yang memberi kelonggaran operasi kepada 55 sekolah agama persendirian.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu Noor Azlida Husein berkata keputusan tersebut melegakan pengusaha institusi yang belum memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya rakam penghargaan kepada EXCO kerana beri penyelesaian yang menyenangkan hati. Semua ahli pastinya gembira dengan keputusan ini.

“Ia juga beri kelegaan apabila anak-anak kami dapat menduduki peperiksaan dengan tenang. Jutaan terima kasih kerana melegakan hati kami semua,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni di bangunan pentadbiran negeri di sini.

Noor Azlida juga gembira kerana institusi tersebut juga bolkeh memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pendidikan.

“Jutaan terima kasih kerana melegakan hati kami. Keputusan ini pastinya membantu kami yang gusar mengenangkan sekolah yang kami bangunkan,” katanya.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Mohd Zawawi bersetuju melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 55 sekolah agama persendirian di Selangor sehingga tahun depan.

Lanjutan itu membantu kira-kira 10,000 pelajar menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Januari tahun depan.


Pengarang :