PBTSELANGOR

Didik masyarakat kitar semula, MPK kumpul 866,957kg barangan terpakai

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 JUN: Lebih 866,957 kilogram barangan terpakai dikumpulkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi program kitar semula setakat bulan lepas.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan memaklumkan barangan yang dikumpul termasuk kertas, plastik, aluminium, besi, dan kotak, yang dibuat dari rumah ke rumah.

“Kutipan barangan kitar semula menunjukkan peningkatan tahun ini selepas MPK melaksanakan program kitar semula pintu ke pintu mulai Julai 2022,” katanya di sini.

Bercakap ketika mempengerusi mesyuarat penuh bulanan MPK hari ini, beliau berkata pihaknya turut mengumpul 8,275.50kg minyak masak terpakai menerusi program sama dalam tempoh berkenaan.

Menerusi program pintu ke pintu, MPK menyediakan masa kutipan dari 10 pagi hingga 7 malam secara berkala mengikut jadual ditetapkan di 29 lokasi sekitar Klang.

Penduduk hanya perlu membuat langkah mudah iaitu asingkan sampah mengikut jenis (sampah tidak boleh kitar semula perlu diletakkan dalam beg hitam untuk kutipan KDEB Waste Management).

Barangan kitar semula juga perlu dikumpul dalam bekas sesuai atau dimasukkan ke dalam plastik lut sinar dengan mengikat dan meletakkannya di tepi tong sampah pada hari kutipan.

 


Pengarang :