Ibu bapa mendaftar anak dalam program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) Selangor anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 19 Jun 2023. Foto Facebook Jabatan Anak Istimewa Selangor
AGENSISELANGOR

80 peratus murid sertai program saringan dikesan kurang upaya pembelajaran

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 24 JUN: Kira-kira 80 peratus daripada 90 murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun yang menyertai program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) Selangor bagi daerah Hulu Langat dikesan sebagai kurang upaya pembelajaran.

Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) memaklumkan program bertujuan memberikan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang belum pernah dirujuk doktor pakar dan belum mendapat penilaian daripada klinik atau hospital sebelum ini.

Siri pertama saringan luar bandar itu bermula 19 sehingga 21 Jun lalu di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.


Murid menyertai program saringan Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) Selangor anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 19 Jun 2023. Foto Facebook Jabatan Anak Istimewa Selangor

“Program berlangsung tiga hari dan 90 murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun telah disaring dan hampir 80 peratus dikenal pasti sebagai kurang upaya pembelajaran.

“Setelah proses saringan dijalankan, mereka mendaftar sebagai pemegang kad OKU dan juga pendaftaran akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memudahkan pengurusan manfaat kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata ANIS menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Murid menjalani ujian penglihatan ketika program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) Selangor anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 19 Jun 2023. Foto Facebook Jabatan Anak Istimewa Selangor

ANIS memaklumkan program membabitkan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKM dan BSN.

Ia bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala bagi memastikan pembangunan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini ditingkatkan seiring keperluan semasa.


Pengarang :