ADNSELANGOR

ADN Sungai Ramal: 192 anak istimewa terima bantuan khas negeri

Oleh Amirul Fazli

SHAH ALAM, 23 JUN: Seramai 192 anak istimewa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal menerima manfaat di bawah inisiatif Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata mereka yang terpilih menerima bantuan sekali bayar maksimum RM5000 yang boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan pendidikan.

“Selangor menyediakan dasar atau program untuk kanak-kanak termasuklah anak istimewa. Semoga bantuan ini akan meningkatkan keupayaan golongan tersebut.

”Kita perlu menyediakan sistem sokongan kepada anak istimewa. Dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan persekutuan telah memudahkan lagi bantuan ini disalurkan selepas mengenal pasti masalah.yang dihadapi anak istimewa,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar meninjau program saringan keperluan pendidikan khas untuk anak istimewa peringkat DUN Sungai Ramal di Dewan Komuniti Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 21 Jun 2023. Foto Facebook Mazwan Johar

Bantuan khas tersebut diberikan secara sekali bayar dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga dan terbuka kepada anak istimewa berumur 18 tahun ke bawah.

Tujuan utama bantuan untuk meringankan tanggungan kos terapi, pemulihan, pendidikan dan sara hidup (makanan tambahan/ubat-ubatan) yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

Insentif itu juga untuk mengurangkan beban ibu bapa atau penjaga yang ingin membeli peralatan khas bagi pemulihan anak-anak istimewa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar meninjau program saringan keperluan pendidikan khas untuk anak istimewa peringkat DUN Sungai Ramal di Dewan Komuniti Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 21 Jun 2023. Foto Facebook Mazwan Johar

Pengarang :