Jemaah mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aidiladha disambut meriah di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara hari ini meriah dengan kebanyakan masjid dipenuhi umat Islam, termasuk pemimpin serta ketua negeri mahupun setempat, yang hadir seawal pukul 7 pagi, bersama bertakbir memuji kebesaran Tuhan dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Di ibu negara, ribuan umat Islam dalam kalangan warga tempatan mahupun warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara, dengan diimamkan imam besar masjid berkenaan Ehsan Mohd Husni, yang kemudiannya menyampaikan khutbah bertajuk Nilai Pengorbanan.

Di Terengganu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama-sama anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Muaz berkenan berangkat menunaikan solat sunat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Di Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah (Intim), Ipoh.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh pada 29 Jun 2023. Foto Bernama

Sementara di Kedah, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah lain di Masjid Zahir.

Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (tengah) berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir pada 29 Jun 2023. Foto Bernama

Di Kelantan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi serta diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Sementara di Selangor, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama kira-kira 7,000 jemaah dan solat itu dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Di Perlis, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Dataran Istiadat bagi menunaikan solat sunat Aidiladha serta bersama hampir 1,300 umat Islam.

Di Johor, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim bersama adindanya Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru disertai kira-kira 1,000 jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkenan bersalaman bersama rakyat selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Abu Bakar pada 29 Jun 2023. Foto Bernama

Di Melaka Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menunaikan solat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah dan diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dan Mufti Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil bersama kira-kira 3,000 jemaah.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pula menunaikan solat Aidiladha bersama kira-kira 4,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini dan sembilan ekor lembu turut dikorbankan pada majlis korban di kawasan parkir masjid itu untuk diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin.

Sementara itu di Sarawak, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah lain di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya, di sini.

Di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Haji Noor, Serusup, Tuaran selain sebanyak empat ekor lembu bakal dikorbankan pada sambutan berkenaan.

Di Pahang, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat Aidiladha di negeri itu yang dipimpin oleh Imam masjid itu Shaifuddin Ngah manakala khutbah bertajuk ‘Penghayatan Pengorbanan Dalam Menangani Semasa’, disampaikan oleh Muhammad ‘Izzan Idris Al-Hafiz.

– BERNAMA


Pengarang :