Gambar hiasan bayi. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bayi lelaki baru lahir ditinggalkan tanpa pakaian atas reban ayam

LAHAD DATU, 13 JUN: Bayi lelaki yang baharu dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa, di sini, semalam.

Bayi malang itu ditemui lelaki berusia 51 tahun ketika melihat reban ayam miliknya, pada jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan tanpa pakaian di atas reban ayam penduduk kampung berkenaan.

“Bayi seberat tiga kilogram itu dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis sedang berusaha mengesan suspek dalam kejadian itu, lapor Berita Harian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta hubungi Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab menjaga bayi itu dengan niat hendak membuang bayi terbabit. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.


Pengarang :