Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Jalan Pandan Laman, Kampung Pandan Dalam pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Belanja RM50 beli pelbagai barangan dapur, pengunjung harap JER dianjur sepanjang tahun

Oleh Fhatihah Zakinan

AMPANG, 20 JUN: Berbekalkan wang RM50, pengunjung dapat membeli lebih banyak barangan asas dengan harga lebih murah pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) berbanding di pasaran.

Warga emas, Aladin Ali, 63, yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal berkata tanpa program JER, wang RM50 tidak cukup menampung keperluan harian dia dan keluarga.

Aladin Ali. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Barang di pasar harga tinggi, dulu beli barang dengan duit RM50 tak cukup, tapi di sini, banyak dapat barang. Ayam dan ikan di sini lagi murah dan boleh bertahan untuk seminggu kami anak beranak termasuk seorang anak OKU,” katanya.

Aladin yang sudah berulang kali berbelanja di JER ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Pandan Utama, di sini.

Firaida Suit, 29, yang kali pertama ke JER pula berkata pada mulanya dia hanya datang untuk melihat suasana, namun mengambil keputusan untuk membeli barangan asas di program jualan murah itu.

Firaida Suit. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya ambil peluang membeli barangan asas di sini kerana ia sangat murah, dan boleh buat persediaan untuk persediaan raya tak lama lagi,” katanya.

Bagi A Vasanthi, 50, dia sudah lebih 10 kali ke program JER dan tidak akan melepaskan peluang jika ada ia dianjurkan berhampiran kawasannya.

“Saya akan selalu dapatkan maklumat hebahan daripada aplikasi Whatsapp, kerana jualan murah di JER sangat membantu kepada keluarga besar berpendapatan rendah seperti kami,” katanya.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

A Vasanthi. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

JER adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan hingga 1 September depan, dengan kerjasama KPDN.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Jualan murah itu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Menjelang Aidiladha hujung bulan ini, Kerajaan Negeri bercadang menambah penganjuran jualan murah barangan asas kepada 18 lokasi selama dua hari sebelum hari raya.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Jalan Pandan Laman, Kampung Pandan Dalam pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Jalan Pandan Laman, Kampung Pandan Dalam pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :