Tangkap layar yang memaparkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menyelamatkan dua beranak hanyut di sekitar perairan Kuala Langat. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

Dua nelayan hanyut di perairan Kuala Langat diselamatkan

SHAH ALAM, 5 JUN: Dua nelayan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki dua beranak itu dilanda ribut dan karam awal pagi semalam, sebelum dihanyutkan di sekitar perairan Kuala Langat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kapten Maritim V.Siva Kumar berkata pihaknya mendapat maklumat daripada Vesel Tracking Management System Lembaga Pelabuhan Klang yang melaporkan sebuah bot tunda telah menyelamatkan dua nelayan yang hanyut di sekitar perairan Kuala Langat.

“Bot ronda APMM diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat tersebut dan berjaya membantu membawa pulang dua nelayan dari bot tunda sekitar 2 petang tadi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Siva Kumar, mangsa, Asmadi Saiman, 60, dan anaknya Mohd Aslan Asmadi, 34, keluar dari Jeti Kancung Laut pada 5 petang semalam sebelum ditemukan hanyut dengan memakai jaket keselamatan dan berpaut pada penutup tong ikan oleh bot tunda apabila bot mereka dilanda ribut dan karam pada 3.15 pagi tadi (4 Jun).

“Kedua-dua nelayan itu dibawa ke Jeti Kelanang dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam bagi pemeriksaan kesihatan. Mereka dimaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kepenatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :