AGENDANASIONAL

Dua penunggang wanita maut motosikal terbabas rempuh lori

JOHOR BAHRU, 17 JUN: Dua penunggang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas sebelum merempuh sebuah lori di Jalan Gunung Pulai dekat Kulai hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Supt Yusof Othman berkata kemalangan yang dipercayai berpunca daripada keadaan permukaan jalan yang licin berikutan hujan itu berlaku pada pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata mangsa berusia 36 tahun yang menunggang Yamaha Y15ZR maut di tempat kejadian, manakala mangsa berusia 38 tahun dan menunggang Yamaha Y16ZR meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Kedua-dua motosikal dibawa mangsa hilang kawalan semasa di selekoh jalan tersebut, sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lori jenis Volvo tersebut.

Mangsa berusia 36 tahun meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah, manakala mangsa 38 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya pada kenyataan.

Yusof bagaimanapun berkata pemandu lori terbabit yang merupakan lelaki berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu video yang memaparkan kemalangan membabitkan dua wanita yang masing-masing menunggang motosikal itu turut tular di media sosial.

-BERNAMA


Pengarang :