ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis perasmian program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (OPKIMS) di Kampung Pangsun, Hulu Langat pada 17 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Dusun Tua anjur gotong-royong korban, agihan daging pada 1 Julai

Oleh AZIAN AZIZ

HULU LANGAT, 17 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menganjurkan program gotong-royong korban sempena Hari Raya Aidiladha membabitkan empat ekor lembu dan 10 ekor kambing pada 1 Julai ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Edry Faizal Eddy Yusof berkata program tersebut melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk di 18 kampung Melayu tradisi di DUN Dusun Tua.

“Semua haiwan korban ini diberikan oleh Kerajaan Negeri. Kita akan lapah daging korban dan kemudian agihkan sama rata kepada penduduk kampung Melayu yang terlibat,” katanya selepas merasmikan program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (Opkims) di Tabika kemas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kampung Pangsun di sini.

Tahun ini sebanyak RM6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk sumbangan ibadah korban melibatkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

Daripada keseluruhan haiwan korban tersebut, sebanyak empat ekor lembu dan 10 ekor kambing diserahkan kepada 56 ADN seluruh Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar korban kepada semua ADN dalam majlis sumbangan korban di Pusat Konvensyen MBSA di Shah Alam pada 3 Jun lalu.


Pengarang :