Penyelaras DUN Kuang Salasiah Disa ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kuang: Lebih 400 keluarga asnaf, B40 dijangka terima agihan daging korban

Oleh Diana Abd Wahab

GOMBAK, 18 JUN:  Lebih 400 keluarga asnaf dan berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kuang dijangka menerima sumbangan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha.

Penyelarasnya Salasiah Disa berkata agihan itu akan dilaksana pada 1 Julai sebaik program korban perdana membabitkan empat ekor lembu dan 10 ekor kambing selesai.

“Semua haiwan korban ini sumbangan Kerajaan Negeri. Kita akan lapah daging korban dan kemudian agihkan kepada asnaf yang sudah dikenalpasti  dari tujuh kampung dalam DUN ini.

“Kita anggarkan  mampu dapat kira-kira 80 kilogram (kg) daging daripada seekor lembu dan 15kg daging daripada setiap seekor kambing untuk diagihkan kepada golongan sasar,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, Salasiah yang mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang Sallehudin Amiruddin membantu menyelia kehadiran lebih 400 pengunjung program Jualan Ehsan Rahmah  di medan selera Tasik Biru Kundang di sini.

Tahun ini sebanyak RM6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk sumbangan ibadah korban melibatkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

Daripada keseluruhan haiwan korban tersebut, sebanyak empat ekor lembu dan 10 ekor kambing diserahkan kepada 56 ADN seluruh Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar korban kepada semua ADN dalam majlis sumbangan korban di Pusat Konvensyen MBSA di Shah Alam pada 3 Jun lalu.

 


Pengarang :