Suasana sekitar pelaksanaan ibadah korban di Surau At-Taqwa, Taman Desa Mawar, DUN Permatang pada 29 Jun 2023. Foto Rozana Zainal Abidin/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Permatang selesai korban empat lembu sumbangan negeri

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing sumbangan pentadbiran negeri bagi melaksanakan ibadah korban tahun ini.

Penyandang kerusi itu berkata penyembelihan lembu selesai semalam melibatkan beberapa lokasi seperti Taman Bayu, Taman Desa Mawar, Kampung Blok DKPV dan Kampung Lubok, Bukit Belimbing.

Rozana Zainal Abidin memaklumkan ibadah korban bagi kambing pula akan dibuat secara berperingkat sehingga hari ke-13 Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan lembu dan kambing untuk memberi peluang kepada masyarakat memerlukan.

Penyandang kerusi DUN Permatang Rozana Zainal Abidin (kanan) berswafoto bersama penduduk setempat yang menyertai ibadah korban di kawasan berkenaan pada 29 Jun 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

“Kita juga mengambil pendekatan ibadah korban ini mengikut contoh Nabi Ibrahim AS sanggup mengorbankan anaknya demi perintah Allah SWT,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Rozana berbangga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022, berbanding 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kita melihat pengagihan sebarang bentuk hasil dikembalikan kepada rakyat dan mereka berpeluang menikmatinya. Semua merasa nikmat yang diberi Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

 


Pengarang :