EXCO Kebudayaan Borhan Abu Samah bersama sebahagian petugas dalam program rewang sekampung di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DUN Tanjung Sepat hidupkan tradisi gotong-royong, anjur program budaya

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 30 JUN: Program Rewang dan Kenduri Sekampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat akan diadakan selama dua hari bermula esok di Kampung Batu Laut, Kuala Langat.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah memaklumkan acara awal pagi esok dimulakan dengan menyembelih dan melapah dua ekor lembu sumbangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dijangka dimeriahkan lebih 1,000 tetamu, beliau berkata program tersebut diadakan bersekali dengan siaran langsung rancangan Selamat Pagi Malaysia, yang disiarkan di saluran TV1.

“Dato’ Menteri Besar dijangka hadir dan bersiaran langsung menerusi program berkenaan pada Ahad.

“Sempena program itu, kita akan melaksanakan ibadah korban dua ekor lembu dan rewang bagi menyediakan pelbagai juadah, dijangka disertai lebih 150 penduduk,” katanya ketika dihubungi.

Penyandang kerusi DUN Tanjung Sepat memaklumkan penduduk akan menyediakan masakan kampung seperti daging dendeng masak kicap, sayur dan ulam-ulaman bagi menghidupkan tradisi gotong-royong.

Tambah Borhan, program mencanting Batik Selangor turut diadakan di tepi Pantai Batu Laut selain persembahan kebudayaan daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Sebelum ini, program Rewang Sekampung diadakan sempena majlis rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri melibatkan beberapa daerah, yang berlangsung mulai hujung April.

Inisiatif itu bagi memastikan golongan muda mengetahui dan merasai suasana gotong-royong, yang diselangi pelbagai aktiviti untuk mengekalkan perpaduan masyarakat.

 


Pengarang :