Aksi lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak dalam filem aksi Polis Evo 3. Foto Facebook Polis Evo
PERSONALITIRENCANA

Sam, Zizan angkat trilogi Polis Evo, gembira filem lakonan diterima baik

Oleh Intan Syuhada Akhir

Penangan filem aksi Polis Evo 3 mendapat perhatian ramai. Hari pertama tayangan, filem arahan Syafiq Yusof meraih kutipan RM3.4 juta, mengalahkan tayangan filem antarabangsa, Fast X dengan genre sama.

Gandingan sahabat baik Inspektor Khai dan Inspektor Sani lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak masih menjadi penggerak utama siri Polis Evo.

Pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad, 40, mengakui, sejak terlibat dengan Polis Evo persahabatannya bersama Zizan mula menjadi akrab walau di luar filem. Jika sebelum ini masing-masing saling segan, kini mereka berdua seperti adik-beradik.

“Sebelum ini saya dengan Zizan tidak pernah berlakon sekali sehinggalah dapat tawaran berlakon Polis Evo.

Poster filem Polis Evo

“Sudah lapan tahun kenal Zizan. Banyak filem saya sebelum ini hanya ada satu karakter penting. Namun, kali ini kami adalah duo. Keakraban itulah yang kami cipta sampai betul-betul rapat sehingga Polis Evo 3,” katanya ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Isteri sokong

Bercerita mengenai komitmen untuk Polis Evo 3, pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 itu melakukan diet melampau bagi mendapatkan bentuk tubuh yang diminta pengarah. Ia bukan mudah, apatah lagi Sam memang dikenali sebagai individu yang suka makan.

“Saya susah betul dapatkan ‘six pack’ kerana kita duduk lama di rumah akibat pandemik. Ketika itu badan saya naik mendadak.

“Namun, kerana tuntutan kerja iaitu Polis Evo 3, saya berusaha juga. Usaha ini secara tidak langsung menjadi memori untuk Polis Evo 3. Mencabar sebenarnya untuk mendapatkan badan begini pada usia hampir 40 tahun. Saya kena jaga makan dan pergi gimnasium.

“Ia juga membezakan karakter saya sebagai Inspektor Khai dengan karakter lain yang pernah saya bawakan. Jadi perjalanan lakonan saya menjadi lebih warna warni,” ceritanya.

Sam bersyukur kerana isterinya, Syatilla Melvin turut memberikan sokongan dan galakan dari segi pemakanan.

Diterima baik

Poster filem Polis Evo 2

Polis Evo 3 yang menelan belanja melebihi RM8 juta ini menjadi penutup penggambaraan Inspektor Sani dan Inspektor Khai.

Sam gembira filem lakonannya masih diterima baik penonton walau sudah memasuki trilogi ketiga.

“Kejayaan Polis Evo 1 dan 2 sebelum ini sebenarnya memberikan cabaran untuk menghasilkan filem yang lebih baik. Sebab selalunya kalau filem sampai ketiga atau keempat orang mungkin sudah menyampah.

“Namun, itu adalah cabaran yang kami terpaksa lalui untuk pastikan semua penonton gembira. Kalau boleh saya mahu filem ini sampai Polis Evo ke-26. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang pernah menyokong kami sejak Polis Evo 1 dahulu,” tambahnya.

Polis Evo 3 memaparkan watak antagonis yang juga bekas anggota polis bernama Reza lakonan cemerlang Sharnaaz Ahmad. Ia juga akan menguji keakraban persahabatan antara Sani dan Khai.

Setakat 18 Jun ditayangkan, kutipan Polis Evo 3 sudah mencecah RM50 juta.

Untuk rekod, Polis Evo 1 berjaya meraih kutipan sebanyak RM17.8 juta manakala Polis Evo meraih kutipan sebanyak RM20 juta.


Pengarang :