Orang ramai meninjau barangan yang terdapat di Eco Free Market ketika Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Eco Free Market jadi tumpuan pengunjung program Shah Alam Tanpa Kenderaan

Oleh IMAN IZZIQRY

SHAH ALAM, 11 JUN: Eco Free Market menjadi acara tumpuan pada program Shah Alam Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata Eco Free Market merupakan penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma di mana memerlukan para pengunjung membuat pertukaran barang kitar semula sebelum dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

“Menariknya, setiap pengunjung kena dapatkan kupon masuk dengan membawa barangan kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama.

“Acara ini diadakan dua bulan sekali bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan diperlukan secara percuma di samping menyediakan platform pengedaran barang terpakai yang masih boleh digunakan.

Diana Laili pada Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kali ini seramai 154 orang penyumbang telah sertai program ini dan kita berharap lebih ramai penyumbang tampil pada program akan datang,” katanya ketika ditemui.

Acara itu menyaksikan kira-kira 500 pengunjung menyerbu masuk apabila dibuka pada pukul 10 pagi

Diana Laili, 30, dari Seksyen 24 Shah Alam mengakui memang menjadikan Eco Free Market sebagai agenda wajibnya setiap dua bulan.

“Saya memang tidak akan melepaskan peluang ini, memang saya tunggu setiap dua bulan untuk mendapatkan pakaian bayi dan kanak-kanak.

“Walaupun terpakai tapi masih cantik dan boleh digunakan, sangat membantu meringankan beban kewangan saya,” katanya ketika ditemui.

Manakala Mohamad Naim Abd Razak, 29, pula berkata, program ini dapat memanjangkan pahala penyumbang menerusi barangan terpakai yang disumbangkan.

Mohamad Naim Abdul Razak pada Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya mencari barang untuk surau di pejabat saya seperti sejadah, kain pelikat, telekung. Jadi pahala penyumbang itu berterusan jika ianya terus digunakan,” katanya.

Sementara itu bagi penyumbang Ieza Alauddin, 33, berharap program ini dapat diadakan setiap bulan.

“Program ini amat bagus, membantu golongan kurang kemampuan untuk dapatkan barang yang diperlukan secara percuma.

“Saya harap ia dapat diadakan setiap bulan, bagi menggalakkan lagi mereka yang berkemampuan membeli barangan baru, dan melupuskan barang lama di program ini.

“Maknanya kita tak risau rumah kita penuh dengan barang, beli baru tapi yang lama kita boleh tolak kat Eco Free Market ini,” katanya.


Pengarang :