Persembahan gendang Jepun dan tarian sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival Bon Odori kembali Julai ini, diserikan tarian kebudayaan, muzik tradisi Jepun

SHAH ALAM, 14 JUN: Festival kebudayaan Jepun, Bon Odori 2023 dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 22 Julai ini.

Tourism Selangor memaklumkan acara tahunan yang memasuki tahun ke-47 itu bakal diserikan dengan pelbagai pengisian menarik.

“Antara program di Bon Odori 2023 adalah tarian kebudayaan dan persembahan alat muzik tradisi Jepun ‘wadaiko’.

“Masuk adalah percuma namun penganjur berhak menetapkan had maksima kehadiran pengunjung mengikut keluasan kawasan,” katanya yang diterjemah menerusi poster di Facebook.

Gelagat pengunjung sempena Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tourism Selangor menambah, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas ulang alik secara percuma antara lokasi penganjuran dan KTM Shah Alam mulai 4 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, edisi kali ini juga bakal meraikan ulang tahun ke-60 Kelab Jepun Kuala Lumpur dan ulang tahun ke-50 persahabatan antara Asean dan negara matahari terbit itu.

Pada 8 Jun tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berpandangan Festival Bon Odori merupakan perayaan kebudayaan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Baginda turut menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak menyekat program berkenaan dan menghadiri festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar, selain memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

Ia susulan kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini yang mengingatkan umat Islam tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak termasuk Festival Bon Odori.

 


Pengarang :