Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Andalas, Klang pada 25 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gerak segera jentera perpaduan, sampaikan kebenaran kepada rakyat

KLANG, 26 JUN: Jentera perpaduan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor harus digerakkan segera bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera perpaduan harus bertindak sebagai wadah menyampaikan kebenaran bagi menangkis serangan membuta tuli pihak lawan yang hanya mahu meraih undi rakyat.

“Kena gerakkan jentera segera. Kita tidak boleh berdiam diri sebab mereka ini adalah orang yang paling pandai berbisik, menipu dan (cakap) berbelit.

“Yang mereka ada bukan fakta tetapi auta, bukan ‘track record’ (rekod pencapaian) tetapi kegagalan. Mereka akan cuba cipta rasa kurang senang dan tidak gembira (rakyat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jentera Perpaduan HARAPAN dan BN bagi PRN Selangor peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bersempena jelajah #arumerahkuning kawasan itu di Tapak Rakan Muda Taman Sri Andalas di sini, malam tadi.

Lebih 1,000 hadir pada majlis itu termasuk beberapa pimpinan gabungan berkenaan seperti Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam serta penyandang DUN Sungai Kandis, Moh Zawawi Ahmad Mughni.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata Selangor wajib dipertahankan daripada dirampas oleh tangan rakus yang hanya akan membinasakan negeri dan negara.

“Cukuplah 18 bulan mereka tadbir, haru biru negara kita tak tentu arah hidup. Orang macam ini rosakkan dan kacau bilaukan semua orang.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan rakyat, tetapi kita (jentera) tidak boleh berhenti setiap hari perlu maklumkan jiran, kaum keluarga dan sahabat jadikan #arusmerahkuning sebagai benteng pertahankan negeri dan buang Perikatan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

“Sesiapun yang bertanding baik dari PH (Pakatan Harapan) atau BN, kita kena sokong pastikan Selangor stabil, kuat dan kita dapat sama-sama hidup aman dan harmoni,” katanya.


Pengarang :