EXCO Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan Seminar Pengurusan Pengawalan Dan Pencegahan Demam Denggi Negeri Selangor di Petaling Jaya pada 20 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hapus tempat pembiakan nyamuk, kawal kes denggi

PETALING JAYA, 20 JUN: Semua pihak digesa bekerjasama menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes untuk mengawal wabak denggi, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata usaha mencegah denggi tidak terletak kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan masyarakat.

“Kawasan paling mudah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah lorong di belakang kediaman yang mempunyai banyak tempat menakung air, kereta terbiar, danr umah kosong.

“Masyarakat perlu beri kerjasama, ubah sikap dan pemikiran kumpul barang banyak-banyak di kediaman kerana bila hujan datang, takungan air juga boleh mendatangkan pembiakan Aedes.

“PBT perlu tingkatkan kesedaran masyarakat termasuk kanak-kanak, beritahu mereka tempat pembiakan aedes dengan melakukan pemeriksaan,” katanya pada sidang media selepas majlis Penganjuran Seminar Mengenai Pengurusan Pengawalan dan Pencegahan Demam Denggi di Negeri Selangor di Hotel Sheraton, di sini hari ini.

Peserta Seminar Pengurusan Pengawalan dan Pencegahan Demam Denggi Negeri Selangor di Petaling Jaya pada 20 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Dr Siti Mariah turut meminta pihak PBT bertindak dengan lebih tegas melalui penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang tidak menjaga kebersihan premis.

 “Tumpuan harus diberikan kepada kawasan rumah yang lama ditinggalkan, kebun komuniti yang tidak berdaftar dan ubah suai rumah yang meningkatkan risiko tempat takungan Aedes.

“Tindakan awal diperlukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Peserta bertanyakan soalan kepada panel Seminar Pengurusan Pengawalan dan Pencegahan Demam Denggi Negeri Selangor di Petaling Jaya pada 20 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pengarang :