Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika simbolik pelancaran Jentera Perpaduan sempena Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Andalas, Klang pada 25 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

HARAPAN Selangor ketengah calon berkredibiliti, boleh menang

KLANG, 26 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan calon berkredibiliti dan boleh menang dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata formula pemilihan gabungan itu adalah berdasarkan kemenangan.

“Formula kemenangan itu maknanya semua calon harus menampilkan kredibiliti dan juga asas sokongan terhadap parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sudah pasti kita akan cuba letakkan (calon boleh menang). Sebab pilihan raya kita nak menang. Kita datang sebagai penyandang dan ada rekod pencapaian tadbir negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Jentera Perpaduan HARAPAN dan BN PRN Selangor Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas malam tadi sempena jelajah #arusmerahkuning kawasan berkenaan.

Amirudin berkata dengan corak pentadbiran HARAPAN selama 15 tahun di Selangor beliau yakin rasional rakyat bersama pakatan itu.

“Lagi pula sekarang ada sebahagian rakan dari BN yang juga berpengalaman dalam pentadbiran jadi gabungan ini gabungan baik bagi memastikan kestabilan penggal ini terutama dalam saat getir untuk pulihkan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut katanya proses pembahagian kerusi antara HARAPAN dan BN untuk PRN Selangor dijangka selesai selepas Aidiladha.

“Hanya berbaki satu atau dua kerusi lagi. Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ada sesi dengan Presiden UMNO dan sudah ada peningkatan yang baik daripada jumlah kerusi keseluruhan.

“Saya harap sebaik lepas raya haji ini kita dah selesaikan kerusi,” katanya.

Pada 23 Jun Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan sekali gus membuka laluan kepada PRN untuk diadakan.

Selangor antara enam negeri yang bakal melangsungkan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Pengarang :