AGENDANASIONAL

Harga beras tempatan kekal RM2.60 sekilogram – menteri

SHAH ALAM, 7 JUN: Tiada kenaikan berlaku kepada harga beras tempatan dan ia kekal sekitar RM2.60 sekilogram.

Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata harga beras putih yang dilaporkan naik sebelum ini membabitkan beras import yang berkualiti tinggi.

“Sekarang ini heboh tentang beras putih naik harga lima peratus. Saya memberi jaminan yang naik itu ialah harga beras import berkualiti tinggi untuk makanan orang-orang yang berada.

“Tapi untuk orang awam, rakyat Malaysia, keadaan (harga) beras adalah terjamin sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee yang ingin tahu langkah diambil Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia.

Mohamad berkata kementeriannya giat melaksanakan usaha mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksanakan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

“Sekarang ini, kebanyakan kerja sawah dijalankan oleh orang yang sudah berumur. Dengan konsep berskala besar dan teknologi baharu, anak muda mula terbabit secara aktif misalnya di Kedah kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.

“Mereka terlibat aktif dalam pertanian dan sedang kita galakkan lagi dengan beberapa insentif yang cuba kita berikan,” katanya.

Katanya Smart SBB turut diperluaskan menerusi inisiatif Mini Sekinchan yang menunjukkan perkembangan sangat positif dengan hasil tuaian mencecah sehingga 12 tan.

“Inisiatif ala Sekinchan ini sudah digerakkan ke Perlis membabitkan tanaman padi seluas 170 hektar sekiranya hasil tuaian pada September nanti boleh mencapai tujuh tan inisiatif ini akan dikembangkan ke seluruh negara.

“Saya yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika menumpukan cara moden dan baharu dengan kerjasama penanam padi,” katanya.


Pengarang :