Seorang murid sekolah dilihat membasuh muka dengan air susulan cuaca panas ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serada, Kuala Terengganu pada 3 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Negara dijangka alami fenomena El Nino lemah mulai bulan ini

SHAH ALAM, 7 JUN: Negara dijangka mengalami fenomena El Nino lemah bermula bulan ini dan meningkat ke tahap sederhana pada November.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fenomena ini dijangka mengakibatkan pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 40 peratus pada Jun sehingga Oktober terutama di negeri selatan Semenanjung, Barat Sarawak dan Timur Sabah.

“Harus dimaklumkan, walaupun fenomena ini berlaku pada separuh kedua tahun ini ia akan ada sedikit lagging (beransur-ansur) kesannya juga akan dilihat sekitar Mac hingga April 2024,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini mengenai cuaca panas ekstrem yang melanda negara ketika ini.

Nik Nazmi berkata kelazimannya dalam tempoh Monsun Barat Daya, tiupan angin adalah secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan atmosfera lebih stabil.

“Keadaan ini akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini seterusnya mengakibatkan kebanyakan tempat di seluruh negara melalui taburan hujan yang lebih rendah.

“Bagaimanapun masih terdapat kemungkinan terdapat hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai yang masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

“Ia seperti apa yang kita telah lalui di Lembah Klang beberapa hari lepas,” katanya.


Pengarang :